Dikemas kini 14 Nov 2026 · Klinik Pergigian Awana, Bandar Seri Putra
Kehilangan gigi boleh menjejaskan cara mengunyah, bercakap dan senyum. Implan gigi ialah satu daripada beberapa pilihan untuk menggantikan gigi yang hilang. Artikel ini menerangkan apa itu implan gigi, siapa yang mungkin sesuai, langkah-langkah rawatan dan cara menjaganya. Ia panduan umum untuk pembaca di Bandar Seri Putra, Bangi, Kajang dan Nilai — kesesuaian sebenar hanya boleh dinilai selepas pemeriksaan.
Apa itu implan gigi?
Implan gigi ialah skru kecil, biasanya daripada titanium, yang dipasang ke dalam tulang rahang untuk berfungsi seperti akar gigi. Selepas implan bercantum dengan tulang, crown (mahkota gigi) dipasang di atasnya. Implan juga boleh digunakan untuk menyokong bridge atau gigi palsu.
Pilihan lain untuk menggantikan gigi
- Gigi palsu boleh tanggal — separa atau penuh. Lihat gigi palsu.
- Bridge — gigi gantian yang disokong oleh gigi di sebelahnya.
- Implan — gigi gantian tetap yang disokong oleh tulang rahang.
Setiap pilihan ada kebaikan dan hadnya. Doktor akan menerangkan pilihan yang sesuai dengan keadaan mulut, kesihatan dan keutamaan anda.
Bagaimana implan berbeza daripada gigi asli?
Gigi asli dipegang oleh ligamen halus yang membolehkannya bergerak sedikit, manakala implan bercantum terus dengan tulang. Implan tidak boleh berlubang, tetapi gusi dan tulang di sekelilingnya masih boleh dijangkiti jika plak dibiarkan — keadaan yang dipanggil peri-implantitis. Sebab itu kebersihan mulut dan pemeriksaan berkala sama penting seperti untuk gigi asli.
Siapa yang mungkin sesuai?
- Dewasa yang kehilangan satu atau lebih gigi
- Gusi sihat, atau penyakit gusi sudah dirawat
- Tulang rahang mencukupi — atau boleh ditambah dengan bone grafting
- Penyakit seperti kencing manis terkawal
- Bersedia menjaga kebersihan mulut dan datang untuk semakan berkala
Merokok boleh menjejaskan penyembuhan. Beritahu doktor tentang sejarah kesihatan dan ubat yang anda ambil.
Bagaimana jika tulang rahang tidak mencukupi?
Selepas gigi hilang, tulang di kawasan itu boleh beransur susut, terutama jika ruang dibiarkan lama. Imbasan 3D membantu doktor melihat ketinggian dan ketebalan tulang. Jika tulang tidak mencukupi, prosedur tambahan seperti bone grafting atau sinus lift mungkin dicadangkan sebelum atau semasa pemasangan implan. Dalam sesetengah kes, pilihan lain seperti bridge atau gigi palsu mungkin lebih sesuai. Doktor akan menerangkan kebaikan, risiko dan tempoh setiap pilihan supaya anda boleh membuat keputusan dengan tenang.
Soalan yang boleh ditanya semasa konsultasi
- Adakah saya sesuai untuk implan, atau ada pilihan lain?
- Berapa lama keseluruhan rawatan dan berapa kali perlu datang?
- Adakah saya perlukan bone grafting?
- Bagaimana cara menjaga implan selepas siap?
Langkah-langkah rawatan implan
- Pemeriksaan, X-ray dan imbasan 3D untuk menilai tulang
- Perancangan rawatan dan penerangan kos serta tempoh
- Pemasangan implan di bawah bius setempat
- Tempoh penyembuhan, biasanya beberapa bulan
- Pemasangan crown kekal dan semakan gigitan
Apa yang dijangka selepas pembedahan
Selepas implan dipasang, kawasan itu mungkin bengkak atau sedikit sakit selama beberapa hari. Doktor akan memberi ubat jika perlu serta arahan seperti makan makanan lembut, tidak merokok, dan membersihkan mulut dengan perlahan. Semasa tempoh penyembuhan, anda mungkin diberi gigi sementara supaya ruang tidak kelihatan kosong. Datang untuk temujanji susulan supaya doktor dapat memeriksa penyembuhan sebelum crown kekal dipasang.
Penjagaan implan
- Berus dua kali sehari dan bersihkan sekitar implan dengan floss atau berus celah gigi
- Elakkan menggigit benda keras seperti ais
- Kurangkan atau berhenti merokok
- Datang untuk pemeriksaan dan scaling berkala
Baca lagi
Maklumat rawatan di klinik kami: Implant gigi di Bandar Seri Putra & Bangi.
Soalan lazim
Berapa lama implan boleh bertahan?
Ketahanan bergantung pada kesihatan gusi dan tulang, tabiat seperti merokok, dan penjagaan harian. Doktor akan menerangkan jangkaan untuk kes anda.
Rawatan implan sakit?
Pemasangan dilakukan di bawah bius setempat. Rasa tidak selesa selepas itu biasanya boleh dikawal dengan ubat mengikut nasihat doktor.
Berapa lama keseluruhan rawatan implan?
Biasanya beberapa bulan dari pemasangan implan hingga crown kekal, bergantung pada keadaan tulang dan sama ada bone grafting diperlukan. Doktor akan terangkan anggaran tempoh selepas pemeriksaan.
Berapa kos implan gigi?
Kos bergantung pada keadaan gigi dan rawatan yang diperlukan. Doktor akan terangkan pilihan dan kos selepas pemeriksaan, sebelum rawatan bermula.
Klinik Pergigian Awana, Bandar Seri Putra
65-1, Jalan Seri Putra 1/4, Bandar Seri Putra, Bangi · Tingkat 1, atas KK Mart · Isnin–Rabu & Jumaat–Ahad, 10:30 pagi – 6:30 petang · Khamis tutup
WhatsApp 017-427 6059 Tempah temujanji
Add comment
Comments